Saturday, September 25, 2010

Majlis Restu Ilmu Pelajar PMR & SPM 2010

Salam. Rasa baru je balik semenanjung, dah seminggu berlalu rupanya. Dan, dengan itu juga tarikh-tarikh keramat peperiksaan awam sudah semakin hampir. PMR lagi 10 hari dan SPM 59 lagi hari. So? Anak-anak didik cikgu semua camne? Dah bersiap sedia untuk ke medan perang untuk bertempur hehe. Arap-arap semua sudah bersedia untuk menghadapinya. Tapi kata orang, kalau nak lagi berkat kita perlu mendapat restu kan? Jadi, kelmarin telah diadakan Majlis Restu Ilmu Pelajar PMR dan SPM 2010.

Ahli PRS membantu di Meja Pendaftaran

Majlis yang dikelolakan oleh Unit Kaunseling sekolah yang dipengerusikan oleh Cikgu Murni ini diadakan pada setiap tahun. Tujuannya ialah untuk mengumpulkan semua ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam ini bagi memohon kepada Allah s.w.t agar diberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada anak-anak ini. Selain itu juga, inilah masanya para pelajar dapat memohon restu daripada ibu bapa dan guru-guru yang mengajar mereka.

Antara bapa pelajar yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis bermula seawal jam 7.30 pagi dengan ketibaan ibu bapa dan para jemputan. Kemudian, masjlis diberkati lagi dengan bacaan doa oleh adik Mohd Hafiz Othman. Selepas itu, Tuan Pengetua Mr Henley Liew Yun Ye mengambil peluang memberikan ucapan alu-aluan dan seterusnya memberikan amanat dan nasihat kepada calon-calon PMR dan SPM. Antara isi ucapan beliau ialah beliau mahu semua pelajar berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Baik untuk diri sendiri, ibu bapa mahu pun untuk sekolah. Kejayaan pada hari ini bakal menentukan kehidupan mereka semua pada masa depan.


Mendengar amanat dan nasihat Tuan Pengetua.

Selepas ucapan tersebut. Majlis berehat seketika untuk sedikit jamuan ringan. Menu yang ditempah daripada kantin sekolah ditapau untuk ibu bapa dan guru-guru. Mee goreng dan telur "mata sapi" bersama air kotak menjadi santapan semua hadirin hehe. Bolehlah buat alas perut kan? Hehe.

Antara pelajar yang hadir.

Selepas itu, pelajar dan ibu bapa yang beragama Islam ke surau sekolah dan yang beragama kristian ke bilik muzik. Aktiviti di surau di kendalikan oleh Tuan Haji Ismail Salleh dan Ustaz Ahmad Nazri Yahya. Manakala di bilik muzik dikendalikan oleh Pastor yang dijemput khas. Semoga dengan aktiviti kerohanian ini dapat membina keyakinan dalam diri pelajar selain mendekatkan diri dengan Tuhan. Semoga doa dan harapan akan dimakbulkan olehNya. Amin.

Penyampaian alat tulis kepada para pelajar.

Selesai aktiviti kerohanian, semua berkumpul di dewan terbuka kembali. Majlis diteruskan dengan penyampaian alat tulis kepada semua calon PMR dan SPM. PK1 Cikgu Elsie diiringi oleh PKHEM Cikgu Ayu telah menyempurnakannya.

Bersalaman dengan ibu bapa dan guru-guru memohon restu.

Selesai acara penyampaian tersebut, para pelajar bersalaman dengan ibu bapa dan guru-guru sebagai memohon restu daripada ibu bapa mereka dan atas ilmu pengetahuan yang telah dicurahkan oleh guru-guru. Dengan alunan lagu nasyid "Anak Soleh" nyanyian kumpulan Aeman, ada pelajar dan ibu yang sebak dan menitiskan air mata sewaktu bersalam dengan ibu bapa dan guru-guru. Benarlah kata orang, kasih sayang ibu bapa kita terhadap kita amat mendalam.

Pelukan kasih seorang anak dengan ibu.

Semoga anak-anak didik cikgu semua mendapat restu daripada ibu bapa kamu semua dan kami guru-guru merestui segala ilmu yang dicurahkan selama ini. Semoga Allah juga memberkati kamu semua dan memberikan kejayaan kepada kamu semua. Ingatlah, peluang datang hanya sekali. Manfaatkanlah sebaiknya. Restu cikgu buat kamu semua. Doa diiring buat kalian. Amin!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails